Negeri ini tidak memiliki bangunan pencakar langit atau pembangunan pesat bak kota raya.
Tetapi percayalah, sebaik sahaja anda melangkah masuk ke negeri ini, anda pasti terpegun akan betapa banyaknya tempat menarik yang ada di Kelantan. Kalau kita sebut je Kelantan, kita pasti akan terbayangkan tempat makan atau shopping murah sahaja.
Tidak dinafikan, dua faktor ini menjadi penyumbang utama yang membuatkan pelancong tertarik untuk berkunjung ke negeri ini. Walhal Negeri Che Siti Wan Kembang ini mempunyai banyak lokasi yang boleh di lawati. Kelantan boleh dikatakan the most underrated state in Malaysia.
Bagi yang ragu-ragu untuk bercuti di sini, jangan khuatir sebab kami di TeamTravel akan senaraikan semua tempat-tempat menarik di Kelantan. Lengkap dengan hotel, tempat makan best, lokasi membeli-belah, hinggalah tempat bersejarah.
Pantai Cahaya Bulan
Nama ringkasnya adalah ‘PCB’, pantai yang paling popular di Kelantan. Mungkin juga kerana kedudukannya cuma 10 minit dari pusat Bandar dan 20 minit dari lapangan terbang. PCB sangat sesuai kalau anda nak datang lepak-lepak dan makan bersama keluarga atau rakan memandangkan banyak deretai kedai di sepanjang pantai ini.
Kebanyakannya menjual snek seperti keropok lekor, seafood celup tepung atau ‘colek’, serta makanan panas. Bukankah seronok kalau dapat menikmati udang celup tepung sambil menghirup air kelapa? Cuma PCB ni tidak sesuai untuk bermandi atau bermain jet ski memandangkan ombaknya yang besar dan terdapat batu-batu besar dan konkrit sepanjang pantai.
Buat kaum hawa, mereka pasti rambang mata apabila melihat begitu banyak kedai kain batik, songket, dan bermacam jenis teksktil sepanjang jalan menghala ke PCB ini.
Resort Menarik di Kelantan
PCB Resort
Dah nama pun pantai, mestilah ada resort menarik yang berdekatan untuk menginap. PCB Resort merupakan antara yang paling popular di PCB. Di sini, kemudahannya boleh dikatakan cukup. Wifi dan breakfast tu semua ada. Tak dapat mandi pantai? Jangan risau, di sini kolam renang besar disediakan. Chalet disediakan agak luas. Dengan harga RM114 di Agoda, ia sesuai untuk yang datang berdua, dengan keluarga, mahupun atas urusan kerja.
Pasir Belanda
Terdapat satu lagi resort berdekatan yang boleh anda jadikan pilihan sekiranya ingin bermalam sekitar PCB iaitu, Pasir Belanda. Kalau nak tahu, Pasir Belanda ni sentiasa menjadi pilihan pelancong luar negara yang ingin merasai sendiri suasana kampung dan budaya orang Melayu. Binaan chaletnya juga unik, bagaikan kampung Melayu lama. Swimming pool juga disediakan, infinity pool yang menghadap sungai. Harga di Agoda sekitar RM196.
Tempat Membeli—belah di Kelantan
Ramai yang menggelarkan Kelantan sebagai ‘syurga membeli-belah’ kami di Team Travel sendiri tidak dapat menafikannya. Berikut merupakan beberapa tempat shopping yang kami boleh kategorikan sebagai ‘wajib singgah’ sekiranya bertandang ke negeri ini.
Tidak lengkap percutian anda ke Kelantan jika tidak singgah ke Pasar Besar Siti Khadijah yang terletak di Jalan Buluh Kubu. Majoriti peniaga di pasar ini adalah wanita dan dari situlah ia mendapat namanya. Ia bukan sahaja pasar basah, malah barangan dapur/runcit, kuih-muih, aksesori, kain pasang turut dijual di kompleks perniagaan ini. Di sinilah tempat terbaik sekirannya anda ingin membeli kain pasang yang dijual mengikut gred. Pastikan anda tawar menawar harga ya. Kerana anda mungkin akan dapat harga yang jauh lebih murah dari harga asal.
Oh ya, jangan lupa beli buah tangan yang terdiri daripada makanan kering seperti serunding daging/ikan, dodol, popia, keropok lekor, dan pelbagai jenis kerepek.
Bazar Buluh Kubu
Bazar Buluh Kubu ni bersebelahan dengan Pasar Siti Khadijah, ini bermakna anda boleh sambung shopping di sini. Bangunan 4 aras ini boleh dikatakan memberi fokus kepada penjualan batik, songket dan pelbagai jenis kain pasang sahaja. Dalam masa sama hasil kraftangan turut dijual di sini.
Mereka yang suka melakukan tawar-menawar harga pasti akan teruja. Itulah keistimewaan bazar ini kerana ia sentiasa memberikan harga rendah buat pelanggan.
Bazar Tok Guru
Bazar yang menggantikan Arked Uda dan pasar MPKB yang dirobohkan. Rekabentuk bangunan ini bercirikan senibina Islam, selari dengan jolokan negeri ini sebagai ‘serambi Mekah’. Bangunan tiga tingkat ini menjual kain, batik, tudung, periuk, barang perhiasan wanita dan lain-lain. Tingkat paling atas pula menempatkan kedai makan yang menawarkan makanan yang menyelerakan. Pengunjung pastinya dihidangkan dengan lebih banyak pilihan memandangkan ia adalah terbesar seumpamanya di Kelantan. Tak susahpun nak cari Bazar Tok Guru ni, ia di kedudukan strategik iaitu di Jalan Sultan Ibrahim.
Wakaf Che Yeh
Wakaf Che Yeh juga boleh dikatakan lokasi ‘wajib pergi’ jika bercuti di Kelantan. Beroperiasi sepanjang masa, pasar basah di waktu pagi yang menjual barangan runcit, pasar borong di waktu siang. Tapi jika anda inginkan suasana yang lebih happening, datanglah pada waktu malam.
Barang keperluan harian seperti baju, kasut, seluar jeans, aksesori telefon, jersi dijual pada harga borong. Ketika inilah anda dapat menyaksikan jeritan tawar-menawar peniaga mempromosikan barangan mereka.
Jarak Wakaf Che Yeh dengan pusat bandar Kota Bharu adalah lebih kurang 3 km.
Hotel menarik di Kelantan
Terdapat banyak pilihan hotel anda anda boleh pilih sekitar terutamanya di dalam bandar Kota Bharu. Hotel yang kami senaraikan berdekatan dengan tempat shopping dan tarikan utama negeri ini. Senang, supaya anda tidak perlu mengambil masa lama dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Dari hotel bajet bawah RM200 hinggalah hotel bertaraf lima bintang.
Jewels Hotel (Habib Jewel)
Jewels Hotel yang dahulunya dikenali sebagai Habib Hotel adalah milik syarikat pengeluar barang kemas terkenal, Habib Jewels. Berkonsepkan butik, Jewels Hotel menerapkan unsur berlian dan batu permata. Ia boleh dilihat melalui hiasan dalaman dan nama setiap bilik. Tambahan pula, hotel ini terletak di tengah-tengah Bandar Kota Bharu yang dekat dengan tarikan utama pelancong iaitu Pasar Siti Khadijah dan Bazar Buluh Kubu.
Hotel Ridel
Berada betul-betul di pinggir Sungai Kelantan, Ridel Hotel menjadi salah satu pilihan pengunjung yang memperuntukkan bajet kecil. Ia turut mengetengahkan konsep hotel butik yang kini menjadi permintaan ramai iaitu murah tetapi masih dapat merasai sentuhan mewah. Bayangkan, setelah penat berjalan sepanjang hari, anda boleh pulang ke hotel dan mencuba pelbagai jenis makanan tradisional, Barat, mahupun Asia di beberapa buah restoran bersebelahan Hotel Ridel. Kesemua restoran ini menghadap sungai. Kami cadangkan anda supaya menikmatinya sewaktu matahari hampir terbenam.
Tune Hotel
Seperti yang kita tahu, Tune Hotel dimiliki Tune Group iaitu sebuah syarikat milik Tony Fernandes (bekas CEO Air Asia). Tune Hotel ni boleh dikatakan terdapat di hampir setiap negeri di Malaysia. Sama seperti syarikat penerbangan mampu milik itu, Tune Hotel juga menawarkan kadar mampu milik mampu milik bagi pelancong dalam dan luar negara. Bahkan, ia terletak betul-betul di hadapan pusat membeli-belah, KB Mall. Senang nak shopping.
Sering menjadi tumpuan para backpakers berikutan harga yang berpatutan tetapi lengkap dengan segala kemudahan seperti. Bahkan, hiasan dalamannya juga moden. Ingin kami ingatkan bahawa hotel ini mungkin tidak sesuai sekiranya anda mempunyai keluarga besar kerana ia agak sempit. Cuma sekitar RM 110 di Trivago, bergantung pada jenis bilik. Klik SINI untuk menempah.
Hotel Perdana
Bagi anda yang tidak kisah mengeluarkan bajet RM200 dan ke atas untuk penginapan, bolehlah ke Hotel Perdana. Hotel bertaraf 5 bintang ini berada di tengah bandar dan berdekatan dengan kebanyakan tarikan utama, hospital, pejabat kerajaan, dan juga Stadium Sultan Muhammad ke-IV.
Kemudahan yang cukup lengkap termasuk gimnasium, kolam renang, sarapan,Wifi, dan restoran mewah. Harga kira-kira RM220 di Agoda, sudah pasti anda dapat menikmati waktu rehat di bilik mewah dan tilam empuk setelah penat berjalan.
Tempat bersejarah di Kelantan
Setiap negeri di Malaysia mempunyai sejarahnya yang tersendiri, termasuklah Kelantan. Negeri ini mempunyai beberapa buah muzium yang memfokuskan sejarah dari sudut berbeza. Kesemuanya menyimpan 1001 item dan cerita tersendiri. Bagus sekali buat anak-anak agar mereka dapat belajar tentang sejarah.
Masjid Kampung Laut
Terletak di Nilam Puri, masjid ini dikatakan menjadi pusat penyebaran agama Islam pada tahun 1730. Para mubaligh belayar ke sepanjang Kepulauan Melayu untuk menyebarkan Islam. Malangnya perahu mereka bocor di tengah jalan. Mereka bersumpah sekiranya mereka dibawa ke pantai dengan selamat, akan mereka bina sebuah masjib bagi memperingati peristiwa itu. Para mubaligh mendarat dengan selamat di Kampung Laut, kemudian membina sebuah masjid di sini.
Masjid ini diiktiraf sebagai yang tertua di Asia Tenggara. Senibina masjid ini mempunyai sentuhan Jawa. Uniknya ia dibina tanpa menggunakan sebarang paku.
Muzium Kraftangan
Muzium ini menempatkan pelbagai hasil kraftangan yang mempunyai sentuhan seni negeri Che Siti Wan Kembang ini. Di sini, anda boleh lihat sendiri bagaimana kain songket ditenun, mencanting batik, pembuatan wau, dan ukiran tradisonal dihasilkan melalui demonstrasi yang tunjukkan. Anda juga boleh membeli pelbagai jenis cenderamata yang terdiri daripada anyaman rotan, kain songket/batik, keychain, ukiran kayu, dan perhiasan rumah buat yang tersayang. Waktu operasi adalah pada jam 8.30 pagi hingga 4.45 petang dan bayaran masuk hanya RM1. Murahkan?
Muzium ini terletak di Kampung Kraftangan iaitu zon bebudayaan Kota Bharu di mana di kawasan ini terdapat beberapa tempat menarik seperti Muzium Adat Istiada, Istana Balai Besar dan Bazar Buluh Kubu. Anda hanya perlu berjalan kaki untuk ke tempat ini.
Muzium Adat Istiadat (Istana Jahar)
Juga dikenali sebagai Istana Jahar, istana tempat bersemayan Al-Marhum Sultan Ismail Ibni Sultan Muhammad ke IV (1920 – 1944). Muzium ini menempatkan pameran Adat Istiadat DiRaja seperti; pertunangan, perkahwinan, melenggang perut, adat pijak tanah dan lain-lain.
Senjata lama seperti lembing, kering, meriam, dan badik juga boleh dilihat pengunjung untuk memberikan penerangan yang lebih mendalam akan susur galur negeri Kelantan.
Tempat makan menarik di Kota Bharu
Anda pastinya sudah banyak kali dengar yang makanan di Kelantan ni sedap-sedap belaka. Lebih-lebih lagi makanan tradisional. Tapi bila dah tiba di negeri ini ke mana patut anda tuju? Baiklah, kami senaraikan beberapa tempat makan best di negeri ini.
Warung Pak Mat Pulau Pisang
Kami pasti anda pasti familiar dengan teh tarik leleh yang sering dimuat naik di media sosial. Kalau nak tahu itu merupakan Teh Tarik Madu dari Warung Pak Mat Pulau Pisang. Cuma beberapa minit dari jalan menuju ke PCB.
Enak dinikmati sama ada sejuk atau panas, Teh Tarik Madu ini dicampur dengan madu asli untuk mengekalkan kualitinya. Sungguh menyelerakan apatah lagi melihat buihnya yang mewah sehingga melimpahi gelas. Teh Tarik bukan satu-satunya hidangan popular restoran ini kerana sup kepala ikan juga sinonim dengan Warung Pak Mat. Jika berkesempatan pastikan anda mencuba kedua-dua resepi ini.
Kopitiam Kita
Sudah tidak dapat dipisahkan lagi dengan penduduk Kota Bharu dan juga pelancong. Kedai makan sarapan pagi ini menghidangkan pelbagai juada popular Kelantan seperti nasi berlauk (Nasi Air Dingin), nasi tumpang, nasi kerabu, dan kuih muih tradisional.
Apa yang paling popular di sini atau ‘signiture dish’ adalah Roti Titab. Ia merupakan roti bakar, telur separuh masak tengah tengah roti, dan kaya buatan sendiri di calit di setiap penjuru roti. Keenakan roti istimewa ini menjadi bualan ramai hinggalah ke luar negara.
Datang seawal pagi tau, kerana Kopitiam Kita beroperasi dari 6 pagi – 2 petang sahaja.
Restoran Nasi Ulam Cikgu
Berkunjung ke Kelantan tapi tidak mencuba penambah rasa, budu, memang tidak akan lengkap. Budu dan ulam-ulaman sudah sinonim dengan rakyat negeri ini. Terletak di Kampung Kraftangan, Jalan Hilir Kota menghidangkan nasi putih, ulam-ulaman, ikan keli goreng berempah, ikan bakar bersama menu wajib, budu.
Malah, anda juga bleh memilih pelbagai jenis lauk lain mengikut citrasa anda. Sesuai sebagai santapan tengah hari, Restoran Nasi Ulam Cikgu beroperasi bermula 10:30 pagi hingga 5 petang.
Nasi Kak Wook
Nasi putih berlaukkan ayam goreng yang dipotong kecil, berkuah sayur dalca dan sambal lada yang diperah asam limau kasturi ini menjadi kegemaran ramai. Nasi Kak Wook sememangnya begitu popular hingga menjadi bualan ramai hinggalah ke negeri lain.
Secara jujurnya, sudah banyak peniaga menjual Nasi Kak Wook ni. Tapi pemilik asalnya menegaskan mereka hanya ada enam buah cawangan. Jadi untuk mengelak anda semua keliru, enam cawangan Nasi Kak Wook original terletak di Jalan Telipot, Jalan Sultan Yahya Petra, Bandar Baru Kubang Kerian, Pasir Hor, Bandar Satelit Pasir Tumboh dan Taman Sari.
Zoo di Kelantan
Melawat zoo sudah menjadi kebiasaan buat mereka yang mempunyai anak kecil. Malangnya tiada zoo di Kelantan. Dahulunya, terdapa Mini Zoo di Kuala Krai yang mempamerkan haiwan seperti beruang, buaya, ular, rusa, dan sebagainya. Tetapi zoo berkenaa menamatkan operasinya pada 2010, khabarnya tidak dapat menampung kos pengurusan yang tinggi.
Air Terjun di Kelantan
Jeram Pasu
16 km dari Bandar Pasir Puteh menghala ke Kota Bharu, Jeram Pasu dikatakan air terjun yang terawal di Kelantan. Jeram Pasu sentiasa menjadi pilihan kerana bukan sahaja air terjun, tetapi lengkap dengan kolam mandi buatan. Kemudahan lain seperti kolam mandi kanak-kanak, surau, tandas, bilik persalinan, dan wakaf kecil turut disediakan untuk memudahkan anda terutama jika hadir dengan keluarga yang besar.
Lokasinya mudah di cari, anda boleh menggunakan Waze atau Google Map.
Jeram Linang
Kira-kira 10 kilometer dari Bandar Pasir Puteh (melalui jalan Pasir Puteh – Machang). Air terjun bertingkat setinggi 12 meter ini mengalirkan air yang jernih serta nyaman. Kawasannya yang leuas menjadikan Jeram Linang sebagai lokasi sesuai untuk bermandi-manda dihujung minggu.
Lata Berangin
Merupakan air terjun tertinggi di Kelantan. Kawasan tadahannya yang luas serta tidak berbatu membuatkan ia cukup sesuai untuk bermandi-manda. Terletak di kawasan terpencil iaitu Sungai Pas, Kuala Krai. Tidak diteroka, menjadikan ia sebagai air terjun paling indah di negeri ini.
Bukan sahaja air terjun, bahkan anak-anak muda juga boleh berkemah di sini.
Nah, sekarang dah dapat idea kat mana nak pergi sekiranya bercuti di negeri Che Siti Wan Kembang kan? Sudah kami katakan bahawa banyak terdapat banyak tempat menarik di Kelantan yang berbaloi dikunjungi.