Daerah Pekan terletak 44km dari bandar Kuantan dan mengambil masa kira-kira 30 minit perjalanan. Terkenal dengan jolokan Bandar Di Raja, kerana terletaknya Istana Sultan Pahang serta kerabat Di Raja negeri ini. Namun itu bukan satu-satunya keunikkan daerah ini kerana banyak lagi perkara dan tempat menarik di Pekan yang boleh anda terokai.
Penulis sendiri yang pernah tinggal di Pahang selama beberapa tahun cukup gemar berkunjung ke Pekan. Biarpun pembangunan di sini tidak sehebat pusat bandar Kuantan, Pekan tetap mempunyai keunikkannya yang tersendiri.
Sebenarnya banyak tempat menarik di Pahang ni, luangkan masa anda di Pekan dengan melawat lokasi-lokasi awesome yang ada di sini.
Berikut merupakan beberapa tempat menarik yang boleh anda kunjungi sekiranya bertandang ke Bandar Di Raja ini.
Muzium Sultan Abu Bakar
Nak tahu sejarah dan susur galur negeri Pahang dengan lebih mendalam? Berkunjunglah ke Muzium Sultan Abu Bakar. Bangunan ini sendiri merupakan kediaman Residen British yang dibina pada 1888. Sewaktu Perang Dunia Kedua, bangunan ini telah dijadikan kediaman pegawai-pegawai Jepun. Ia kemudian dinaik taraf dari bangunan kayu kepada apa yang kita dapat lihat pada hari ini. Ia juga dijadikan istana bersemayam Al-Marhum Sultan Abu Bakar.

Muzium ini mempamerkan monumen lama serta serba sedikit tentang keluarga Di Raja Pahang melalui artifak, item perak, dan banyak lagi.
Alamat: Lembaga Muzium Negeri Pahang, Jalan Sultan Ahmad, 26600 Pekan
Black Water Jewel
Kawasan paya gambut, kaya dengan warisan alam semula jadinya. Jelas sekali Black Water Jewel mendapat namanya dari air payanya yang berwarna hitam. Anda boleh menyelusuri kawasan paya dengan bot yang di sediakan.

Sepanjang menyelusuri paya ini, anda dapat menyaksikan keindahan flora dan fauna seluas 160,000 hektar ini.
Rumah Kelahiran Tun Abdul Razak
Begitu banyak sekali sejarah tersimpan di Pekan ni, antara lainnya adalah tempat kelahiran Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak. Ia terletak di dalam Kompleks Tenun Pahang.
Terdapat galeri yang mempamerkan keris lama, al-quran lama dan pelbagai lagi koleksi yang pernah digunakan oleh Tun sendiri.

Yang paling mendapat perhatian adalah gambar-gambar keluarga Tun Razak yang jarang kita lihat. Ini termasuk gambar beliau bersama anaknya yang juga bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak.
Alamat: Kompleks Budaya Pulau Keladi, Kampung Pulau Keladi, Pahang, Kampung Mengkasar, 26600, Pekan.
Muzium Masjid Sultan Abdullah
Sebelum ini ia hanya sebuah masjid tertua di Pekan iaitu dibina pada 1932, kini bangunan ini diubahsuai menjadi sebagai muzium Islam bagi membolehkan pengunjung menghayati warisan Islam.
Seni bina Muzium Masjid Sultan Abdullah cukup unik bagaikan sebuah masjid dalam taman. Ia mengandungi pelbagai komponen seperti ruang pameran, ruang solat, ruang diskusi dan ilmiah.

Pengunjung dapat melihat sumbangan Islam dalam tamadun dunia yang pelbagai termasuk alat muzik. Ia diikuti dengan sejarah perkembangan Islam di Pahang dengan penemuan Batu Nisan Permatang Pasir yang menandakan kedatangan Islam di negeri ini.
Alamat: Kampung Pancur, 26600 Pekan
Taman Tasik Sultan Abu Bakar
Merupakan sebuah tasik buatan manusia. Terdapat Pusat Sukan Komuniti dan Pusat Penerangan Pelancongan buat pengunjung.
Ini merupakan salah satu lokasi santai untuk penduduk tempatan beristirehat di waktu petang.
Alamat: 26600 Pekan, Pahang
Pekan Riverfront
Pekan Riverfront dahulunya hanyalah sebuah pulau kecil yang tidak disedari, namun setelah dibangunkan beberapa tahun lalu, ia menjadi tumpuan penganjuran pelbagai acara di daerah ini.
Pekan Riverfront kini menjadi lokasi beriadah seisi keluarga ia juga menjadi lokasi bersantai bersama-sama rakan sambil menikmati pemandangan indah di waktu malam.

Agak panas di waktu siang tetapi nyaman pada waktu malam. Sangat seronok sekiranya dapat menghirup udara segar di tepi sungai. Malah, ada banyak kedai makan dan kemudahan seperti tandas awam dan wakaf. Ada juga yang datang memancing di sini.
Alamat: Jalan Sultan Ahmad, 26600 Pekan
Murtabak Mengkasar
Penat seharian berjalan, jom pekena Murtabak Mengkasar yang terkenal ini. Menu ini merupakan antara menu tradisi pilihan keluarga Istana.

Mengkasar memiliki tiga lapisan tebal berinti daging dan 21 jenis rempah-ratus berkualiti, dan ia dimasak lebih garing. Ini menjadikan menjadikannya lebih enak berbanding murtabak yang pernah anda makan sebelum ini. Harganya juga berpatutan, hanya sekitar RM6-RM8 setiap hidangan
Kalau berpeluang ke Pekan, wajib cuba Murtabak Mengkasar!
Alamat: Kampung Mengkasar, 26600, Pekan, Pahang
Galeri Pengangkutan Air
Terletak di Pulau Beram, Galeri Pengangkutan Air mempamerkan banyak perahu dan kapal kecil dari bentuk dan fungsi yang berbeza. Setiap satu daripadanya mempunyai keunikan tersendiri malah mempunyai sejarah tersendiri.
Kebanyakkannya mempunyai seni ukir indah yang mewakili fungsinya suatu masa dahulu.

Tiada bayaran dikenakan untuk masuk ke muzium ini.
Alamat: Jalan Sultan Ahmad, Pulau Beram, 26600.
Banyakkan tempat menarik di Pekan ni? Siapa sangka daerah kecil ini menyimpan pelbagai lokasi awesome untuk dikunjungi.
Harga Tiket Cable Car Genting – RM9.90 [order di sini]
5 Tempat Menarik untuk Family Day di Melaka yang AWESOME!
8 Tempat Menarik di Batu Feringgi [Wajib Pergi]
Hotel ada Kolam di Besut, Terengganu
San Francisco Is always a good idea for a getaway