Selain makanan yang sedap, satu lagi faktor yang menyumbang kepada kedatangan pelancong ke negeri Kelantan adalah lokasi-lokasi membeli belahnya. Tempat shopping di Kelantan dikatakan menjual barangan dengan harga jauh lebih murah berbanding tempat lain.
Walaupun tidak mempunyai banyak butik jenama antarabangsa, tempat membeli-belah di Kelantan lebih kepada barangan harian seperti barang dapur, pakaian, serta aksesori.
Kalau anda berkesempatan berkunjung ke negeri Che Siti Wan Kembang, luangkan masa untuk singgah ke tempat-tempat shopping yang kami senaraikan di bawah.
Pasar Siti Khadijah
Percutian ke Kelantan tidak akan lengkap tanpa kunjungan ke Pasar Siti Khadijah. Terletak di Jalan Buluk Kubu, pasar ini menjual palbagai jenis barangan. Tingkat bawah dikhususkan kepada barang basah seperti ikan, ayam, daging, sayur dan sebagainya. Manakala aras satu lebih kepada barangan runcit/borong seperti rempah, serunding, dan kerepek.
Aras 2 pula menempatkan aksesori dan pakaian. Di sinilah tempat kaum wanita mendapatkan kain pasang, songket, dan pelbagai jenis tudung.
Pastikan anda tawar menawar harga ya. Kerana anda mungkin akan dapat harga yang jauh lebih murah dari harga asal.
Antara lain yang menari tentang pasar ini adalah lokasinya yang strategik. Ia terletak berdekatan dengan tempat makan menarik di Kelantan iaitu Restoran Nasi Ulam Cikgu. Anda boleh ke restoran ini dengan berjalan kaki sahaja dan mengambil masa sekitar 7 minit.
Alamat: Jalan Buluh Kubu, 15000 Kota Bharu, Kelantan (Google Maps Location)
Bazar Buluh Kubu
Nama baharunya, Bazar Siti Aishah. Terletak bersebelahan Pasar Siti Khadijah. Bazar ini beroperasi sebagai pusat jualan batik dan songket yang berkualiti tinggi.
Barangan kraftangan juga turut dijual di sini dan kebanyakkannya dijual pada harga berpatutan. Tempat ini memang menjadi tarikan pelancong
Alamat: Jalan Buluh Kubu, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan  https://goo.gl/maps/tcCHVUkquVD2(Google Maps Location)
Bazar Tengku Anis
Bangunan ini baru sahaja siap dibina. Antara barangan yang ditawarkan termasuklah batik, barangan perak, perabot rumah, pakaian dan barangan antik yang dihasilkan sendiri oleh rakyat Kelantan.
Pakaian dan aksesori seperti kain pasang, telekung solat, dan lain-lain turut dijual. Masih banyak premis yang kosong, tetapi kami kira ia berbaloi untuk dikunjungi.
Terletak di berdekatan stesen bas dan Masjid Muhammadi.
Alamat: Jalan Tengku Puteri, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan (Google Maps Location)
Bazar Tok Guru
Bazar Tok Guru adalah tarikan membeli belah terbaharu di Kota Bharu. Di beri nama sempena Allahyarham bekas Menteri Besar Kelantan, bazar ini menempatkan aneka pakaian siap, batik dan songket, makanan tempatan seperti keropok dan dodol juga ada dijual di sini.
Tempat letak kenderaan di sini lebih mudah di dapati berbanding Pasar Siti Khadijah.
Alamat: Jalan Sultan Ibrahim, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan (Google Maps Location)
Wakaf Che Yeh
Bazar larut malam Wakaf Che Yeh juga tidak kurang hebatnya. Ada yang datang dari jauh semata-mata untuk shopping di sini. Wakaf Che Yeh ini boleh dikatakan seperti Petaling Street.
Semua barang boleh di dapati di sini. Apa yang membuatkan barang di sini lebih murah dari tempat lain kerana kebanyakkannya diimport dari Thailand. Sempadan Thailand pula dekat sahaja. Kalau nak beli tudung murah, di sinilah tempatnya.
Pasar Wakaf Che Yeh ini beroperasi dari pagi hingga je malam. Pada siang hari menjual barangan basah manakala malam pula sebagai bazar. Waktu malam lebih happening kerana anda boleh lihat peniaga menjerit-jerit untuk menarik perhatian pelanggan.
Alamat: 2028, Jalan Kuala Krai, Wakaf Che Yeh, 15150 Kota Bharu, Kelantan. (Google Maps Location)
Aeon Mall
Aeon Mall ini mula beroperasi kira-kira dua tahun lalu. Sejak dari itu, ia menjadi pusat membeli-belah utama negeri ini. Banyak butik-butik, premis, dan restoran francais yang boleh di dapati di sini.
Antaranya Coffee Beans, Kenny Rogers, Nando’s, Mee Tarik, Black Canyon, dan lain-lain. Jika anda ingin mencari rangkaian pengeluar pakaian terkemuka dunia, H&M, ia berada di aras Ground Floor.
Alamat: Lembah Sireh, Kota Bharu 15050, Kelantan (Google Maps Location)
Tempat bersejarah di Kelantan
Muzium Perang Kelantan
Jika kita ingat kembali sejarah penjajahan Jepun ke atas Tanah Melayu bermula di Kelantan. Muzium Perang ini menempatkan segala peringatan Peperangan Dunia Kedua (WWII). Anda boleh mempelajari dengan lebih lanjut akan bagaimana WWII bermula di Tanah Melayu kerana ia bermula di Kuala Pak Amat Kota Bharu.
Harga tiket: Dewasa RM2 | Kanak-kanak RM1
Alamat: Jalan Pejabat Pos Lama, 15300, Kota Bharu, Kelantan (Google Maps Location)
Masjid Kampung Laut
Masjid ini berusia kira-kira 300 tahun. Dikatakan pusat penyebaran agama Islam di negeri ini pada tahun 1730. Dibina oleh para mubaligh yang belayar ke sepanjang Kepulauan Melayu di mana kapal mereka bocor di tengah jalan. Mereka mendarat dengan selamat di pantai terdekat. Untuk memperingati peristiwa itu, mereka membina sebuah masjid.
Masjid ini kini terletak di Pusat Pengajian Tinggi Islam, Nilam Puri. Anda boleh datang dan lihat sendiri senibina masjid ini yang mempunyai sentuhan Jawa dan dibina tidak menggunakan paku
Alamat: Jalan Kuala Krai, 16010 Kota Bharu, Kelantan (Google Maps Location)
Tempat menarik di Tanah Merah
Jambatan Guillemard
Kalau nak tahu, Jambatan Guillermard adalah jambatan keretapi terpanjang di Malaysia iatu sepanjang 609.6 meter. Dibina pada tahun 1920 oleh kehebatan seni bina British.
Jambatan ini merentasi Sungai Kelantan yang bermula di Paloh Rawa, Machang ke Kursial, Tanah Merah, Kelantan.
Senibinanya yang unik dan diperbuat daripada besi, menjadikan jambatan ini begitu gah di mata sesiapa sahaja.
Tempat berkelah di Kelantan
Kalau bercuti bersama keluarga memang tidak sah kalau tak bersantai sambil menikmati pemandangan indah bukan? Kami cadangkan anda ke Pantai Senok. Pantai ini diiktiraf sebagai antara pantai tercantik di Kelantan.
Ini kerana terdapat ratusan pokok rhu yang tersusun dalam barisan. Ini yang membuatkan masyarakat tempatan menggelarkannya sebagai ‘Pulau Nami Malaysia’.
Lokasi: Google Maps Location
Air terjun di Kelantan
Jeram Pasu
16 km dari Bandar Pasir Puteh menghala ke Kota Bharu, Jeram Pasu dikatakan air terjun yang terawal di Kelantan. Jeram Pasu sentiasa menjadi pilihan kerana bukan sahaja air terjun, tetapi lengkap dengan kolam mandi buatan.
Jeram LinangÂ
Kira-kira 10 kilometer dari Bandar Pasir Puteh (melalui jalan Pasir Puteh – Machang). Air terjun bertingkat setinggi 12 meter ini mengalirkan air yang jernih serta nyaman.
Lata BeranginÂ
Merupakan air terjun tertinggi di Kelantan. Kawasan tadahannya yang luas serta tidak berbatu membuatkan ia cukup sesuai untuk bermandi-manda. Terletak di kawasan terpencil iaitu Sungai Pas, Kuala Krai. Tidak diteroka, menjadikan ia sebagai air terjun paling indah di negeri ini.
Zoo di Kelantan
Jika anda tercari-cari lokasi zoo di Kelantan, anda akan kecewa. Ia pernah dibuka di Kuala Krai tetapi ditutup kerana kos penyelenggaraannya yang tingggi.
Sebenarnya rugi kalau bercuti tetapi tidak mengambil peluang untuk ke tempat shopping di Kelantan. Harga barang-barang di sini memang jauh lebih murah berbanding di kota-kota besar. Kami pasti anda pasti akan rambang mata!