Sedapnya makanan Kelantan! Antara salah satu keistimewaan negeri Che Siti Wan Kembang ini adalah makanannya yangmemikat selera. Jika tidak masa kan ada yang sanggup travel beratus batu ke negeri ini hanya untuk menikmati makanannya.
Walaupun makanan Kelantan ni dijual di ibu kota, namun rasanya tidak sama dengan yang asli. Jadi jika berpeluang berkunjung dan melawat tempat-tempat menarik Kelantan, jangan lepaskan peluang untuk merasa juadah tradisional negeri ini.
Maka, dalam artikel ini kami akan kongsikan senarai masakan Kelantan paling sedap. Tidak kiralah sama ada ia kategori lauk-pauk, nasi, gulai, mahupun kuih muih tradisional.
#1 Nasi kerabu
Anda mungkin pernah lihat nasi yang berwarna biru dan dimakan bersama ulam-ulaman. Warna biru itu dihasilkan daripada sejenis bunga yang dipanggil bunga telang. Nasi kerabu wajib dihidangkan bersama sambal kelapa, budu, ulam-ulaman, berserta lauk seperti ayam goreng/bakar, ikan goreng tepung, daging bakar, telur masin, dan keropok. Namun, nasi kerabu juga kadang kala berwarna kuning dan hijau.
Di Kelantan terdapat dua jenis nasi kerabu. Yang satu lagi merupakan nasi putih dan dihidangkan bersama sambal tumis, sambal kelapa, budu, serta ulam.
Yati Ayam Percik
Antara kedai yang menjual nasi kerabu paling famous di Kota Bharu. Signature dish mereka adalah ayam percik yang sering menjadi bualan ramai.
Alamat: Jalan Long Yunus, 15200 Kota Bharu, Kelantan
Nasi Kerabu Golok
Alamat: Jalan Sultan Yahya Petra, Bandar Kota Bharu, 15200 Kota Bharu, Kelantan
#2 Nasi Kukus
Nasinya memang dikukus sepenuhnya dalam pengukus di mana akan dimasukkan dalam acuan khas yang menyamai satu hidangan. Istimewanya nasi kuku ini adalah gabungan lauknya iaitu ayam goreng berempah, gulai kawah, kari ayam, kari daging, kerutuk, pajeri nenas, sambal ikan bilis, timun, dan sambal belacan.
Nasi kukus ni sesuai dimakan sebagai santapan tengah hari mahupun makan malam.
Harga nasi kukus ni agak mahal. Anda boleh membelinya pada harga bermula pada RM5 untuk satu hidangan. Itu pun bergantung pada jenis lauk yang anda ambil.
Nasi Abang Mie
Di waktu tengah hari, dari jauh lagi anda boleh nampak orang ramai beratur untuk mendapatkan nasi kukus di sini.
Alamat: Jln Kota Bharu-Kuala Terengganu, 15150 Kota Bharu, Kelantan
Zakini Nasi Kukus
Antara yang paling terkenal dan yang dah lama bertapak. Terdapat dua cawangan di Kota Bharu iaitu di Jalan Wakaf Mek Zainab dan di Berek 12.
Alamat: S/26, Lot 439, Berek 12, Jalan Abdul Kadir Adabi, 15200 Kota Bharu, Kelantan.
#3 Laksam
Lebih dikenali sebagai menu sarapan pagi rakyat Kelantan. Laksam kelihatan seperti kueh tiaw tetapi ia diperbuat daripada tepung beras dan lebih tebal. Manakala kuahnya pula adalah kuah ikan pekat berlemak yang enak. Dimakan pula bersama ulam-ulaman dan sambal.
Tak susah nak cari laksam ni. Anda boleh mendapatinya di kedai-kedai kopi pada waktu pagi.
Laksam Special By-T
Kalau nak cuba restoran yang betul-betul memfokuskan laksam sahaja, wajib cuba Laksam Special By-T yang terletak di Jalan Raja Perempuan Zainab II. Ramai juga yang mencadangkan makan di sini. Sebabnya, bukan sekadar laksam je, tetapi hidangan seumpamanya seperti laksa Penang turut disediakan.
Alamat: Jalan Raja Perempuan Zainab II, Kampung Belukar Lanjut Kumumin, 16100 Kota Bharu.
#4 Ayam Percik Kuah Putih
Jika di negeri lain, kuah ayam percik sering dilihat berwarna jingga. Tetapi di Kelantan kuahnya berwarna putih. Apa bezanya? Pada penulis kuah putih lebih pekat lemak. Keistimewaannya terletak pada aroma atau bau arangnya.
Restoran yang terkenal dengan ayam percik kuah putih ini sudah tentulah Yati Ayam Percik yang kami sebut tadi!
#5 Nasi Berlauk
Nasi Berlauk merupakan juadah sarapan pagi di negeri Kelantan. Walaupun ada yang menganggap ia terlalu berat untuk di makan pada waktu pagi, tetapi tiada siapa yang dapat menyangkal keenakkannya.
Enam menu utama nasi berlauk adalah nasi berlauk ayam/daging, nasi kerabu, nasi dagang, nasi lemak dan yang paling mendapat sambutan pembeli adalah nasi berlauk ikan tongkol. Ada yang meletakkan nasi berlauk ikan tongkol ini sebagai masakan Kelantan paling sedap.
Seperti laksam, boleh dikatakan semua kedai kopi menjual Nasi Berlauk pada waktu pagi. Tetapi yang paling terkenal adalah Nasi Berlauk Air Dingin.
Nasi Air Dingin Original , Tumpat
Alamat: Kampung Air Dingin, 16200 Tumpat, Kelantan
No. Tel: 019-923 2333
#6 Nasi Tumpang
Satu lagi menu yang sering menjadi santapan waktu pagi. Nasi Tumpang atau ‘Nasi Tupe hampir sama dengan nasi himpit. Ia digabungkan secara berlapi dengan beberapa jenis lauk seperti gulai udang, gulai ikan, sambal, serunding, dan telur dadar. Kemudian dibungkus dengan daun pisang dalam bentuk kon.
Nasi tumpang dijual bermula pada harga RM2-RM5.
Kopitiam Kita
Kopitiam Kita memang terkenal sebagai lokasi sarapan pagi di Kota Bharu. Nasi tumpang turut dijual di sini bersama nasi berlauk, nasi kerabu, dan lain-lain makanan tradisi Kelantan
Alamat: Jalan Sri Cemerlang, Taman Desa Jasa, 15400 Kota Bharu, Kelantan
#7 Nasi Dagang
Sajian ini juga terkenal di Terengganu. Nasi dagang boleh dikelaskan sebagai ‘juada mewah’ kerana ia dijamu dengan pelbagai jenis lauk. Antaranya gulai ikan tongkol, gulai udang, gulai ayam. Nasi dagang turut dihidangkan bersama sambal kelapa, telur rebus, dan acar timun.
Nasi dagang sering menjadi menu utama di majlis keraian, kesyukuran, dan juga pada hari raya.
#8 Kerabu Kaki Ayam
Kerabu kaki ayam merupakan menu yang berasal dari Thailand. Bunyinya macam pelik bahkan ada yang geli melihat kaki ayam ini, apatah lagi memakannya. Tetapi percayalag, ia adalah hidangan yang unik.
Kaki ayam tersebut direbus terlebih dahulu sebelum dicampur dengan cuka, sos ikan, jus perahan limau, salad, timun, dan cili padi. Kaki ayam mempunyai keseimbangan rasa pedas, masam, dan manis.
#9 Nasi Kak Wook
Keenakan nasi Kak Wook tidak dapat disangkal lagi hingga ada yang menjual nasi yang sama di Kuala Lumpur. Nasi Kak Wook adalah nasi putih yang digabungkan dengan gulai ayam, ayam goreng yang dipotong, dan sambal belacan ini mampu memukau sesiapa sahaja yang mencubanya.
Jika anda ke Kota Bharu, hati-hati dengan gerai yang cuba meniru resepi asli. Kerana hanya terdapat 6 buah gerai gerai Nasi Kak Wook yang original iaitu di alan Masjid Lundang, Jalan Sultan Yahya Petra, Bandar Baru Kubang Kerian, Pasir Hor, Bandar Satelit Pasir Tumboh dan Taman Sari.
Alamat: Jalan Masjid Lundang, 15150 Kota Bharu, Kelantan
#10 Budu
Budu dan masyarakat Kelantan tak dapat dipisahkan. Setiap isi rumah wajib menyimpan sebotol budu di dapur mereka. Budu adalah sos ikan bilis yang diperam hingga hancur
Bagi yang tertanya-tanya macam mana nak makan budu? Caranya sama seperti anda memakan sambal belacan. Budu kebiasaannya di makan bersama ulam-ulaman.
Kuih Muih Traditional Kelantan
Okay, sudah puas bercerita tentang lauk pauk Kelantan mari kita beralih pula kepada kategori kuih muih tradisional pula. Seperti yang anda sedia maklum, orang Kelantan memang gemar menikmati kuih yang manis. Jadi kami akan senaraikan beberapa kuih tradisi popular yang patut anda cuba.
#11 Buah Tanjung
Kuih yang berbentuk bujur yang boleh didapati dalam dua warna iaitu kuning dan oren. Bahan asas terdiri daripada telur, air gula, dan sedikit tepung.
Buah tanjung tersenarai sebagai ‘kuih muih bulan puasa’ kerana ramai yang menjadikannya sebagai pembuka selera sewaktu berbuka. Harga buah tanjung agak mahal, ia boleh mencecah sehingga RM8 untuk satu bekas kecil.
Anda boleh membelinya dengan mudah di pasar basah sepeti Pasar Siti Khadijah.
#12 Akok
Kuih yang berbentuk bujur dan berkedut ini sering menjadi buah mulut para pelancong. Akok boleh didapati dalam warna coklat di mana menggunakan gula melaka sebagai bahan asas, dan warna hijau yang menggunakan daun pandan.
Akok lebih sedap jika dibakar secara tradisional iaitu menggunakan arang dan sabut kelapa berbanding pembakar elektrik. Aroma arangnya memang memikat selera!
Sentiasa menjadi hidangan pencuci mulut di majlis perkahwinan dan kesyukuran.
#13 Kuba Guling
Kuih Kuba Guling ini pernah menjadi viral pada Ramadan lalu. Ramai yang sanggup beratur berjam-jam lamanya di Rantau panjang hanya untuk menjadikanna sebagai juada berbuka puasa.
Kuih yang berasal dari Thailand itu bertekstur lembut, berwarna hitam, dan dimakan bersama kelapa parut.
Memandang ia cukup popular, ramai yang ingin mencuba sendiri kuih ini kami sediakan resepinya kepada anda.
Resepi kuba guling:
Bahan-bahan
- 250gm tepung beras
- 200gm gula
- 150gm tepung jagung
- 1/2 sudu makan kapur
- 3 sudu makan tepung beras pulut
- 1/2 cawan santan pekat
- Tempurung bakar (ambik air hitam sahaja & tapis). Pastikan anda ambil tempurung yang bersih
- 1 liter air atau lebih (bergantung pada kepekatan)
- Secubit garam
Cara-cara
- Masukkan semua bahan di atas ke dalam kuali. Kacau sebati.
- Bila sudah sebati, hidupkan api dapur (sederhana besar) dan masak hingga likat. Pastikan ia sentiasa dikacau.
- Sediakan loyang saiz 8.
- Sapukan minyak dan tuangkan bahan yang sudah di masak tadi.
- Bila adunan sudah sejuk, potong dan gulingkan kuih anda ke dalam kelapa parut (muda) yang telah digaulkan dengan sedikit garam.
- Sedia untuk dihidangkan dan dimakan.
#14 Tahi Itik
Namanya mungkin agak pelik tetapi tahi itik adalah kuih tradisional pilihan ramai. Bahan asas untuk membuat kuih itu hanyalah menggunakan telur putih, tepung, minyak dan gula sahaja.
Tahi itik tidak terlalu manis dan mampu bertahan lama jika disimpan di dalam peti sejuk beku.
#15 Lompat Tikam
Pemanis mulut, lompat tikam, juga tidak kurang hebatnya. Kuih ini mempunyai eleman utama iaitu pulut yang berwarna merah, tepung beras (hijau) dan santan pekat. Kesemua elemen ini mempunyai rasa tawar dan masin kerana ia akan dimakan bersama air gula kelapa yang sangat manis.
#16 Jala Mas
Sama seperti buah tanjung, jala mas juga berkongsi rasa manis yang seakan sama. Tetapi jala mas berbentuk seperti mi halus.
Jala Mas juga dijual pada harga yang agak tinggi. Bukan kerana menggunakan bahan yang mahal tetapi penyediaannya amat rumit.
#17 Nekbat Sira
Kuih ini kelihatan seperti bahulu tetapi ia basah kerana disira menggunakan air gula dan daun pandan. Dah nama pun ‘sira’, jadi rasanya sangat-sangat manis.
Kuih ini lebih popular pada bulan Ramadan. Rata-rata ingin menjadikannya sebagai pembuka selera serta pencuci mulut.
#18 Butir Nangka
Penulis sendiri tidak berapa pasti apa perbezaan butir nangka dengan badak berendam. Bagi butir nangka ia dimakan dengan kuah halba. Ia diperbuat daripada tepung beras pulut, kapur, garam, Â dan air daun pandan. Kuahnya pula hanya santan pekat, garam, gula, daun pandan, dan halba. Butir nangka ini juga kadang kala berinti kacang.
Cukup enak jika dijadikan hidangan minum petang.
#19 Ketupat Sotong
Bukan hanya di Kelantan sahaja tetapi ketupat sotong juga merupakan kuih muih Terengganu. Tetapi di Terengganu mereka menggunakan cara berbeza di mana kuahnya lebih cair dan tidak berwarna.
#20 Lempuk Durian
Lempuk dikelaskan sebagai snek orang Kelantan. Kepada pencinta Raja Buah, durian, anda wajib cuba lempuk. Teksturnya lembut seperti dodol, dan ia sangat mudah didapati di Pasar Siti Khadijah.
#21 Buah Melaka (Onde-Onde)
Dalam banyak banyak kuih yang kami sebut, buah melaka atau nama lainnya onde-onde merupakan antara kuih muih yang palung mudah dan cepat. Onde-onde diperbuat daripada tepung pulut. Ia kebiasaannya berwarna hijau kerana digaulkan dengan air daun pandan pekat dan pewarna.
Kemudian tepung itu diisi dengan gula Melaka yang telah dipotong kecil lalu dibentukkan bulat-bulat. Ia kemudian direbus dalam air mendidi selama 2 hingga tiga minit. Langkah akhir penyediaan buah melaka adalah menggaulkannya ke dalam kelapa parut.
Itu sahaja makanan Kelantan yang dapat kami kumpulkan. Jika anda berpeluang bercuti di negeri ini, sila cuba beberapa hidangan yang kami sebutkan di atas.