Tempat Menarik

18 Tempat Menarik di Terengganu [WAJIB PERGI]

Terengganu merupakan sebuah negeri yang berbaloi untuk dikungjungi. Bukan hanya menyerlah dengan keindahan Pulau Perhentian, Pulau Kapas, dan Pulau Redang sahaja. Tetapi keunikan seni kraftangan, makanan, sejarah, dan budayanya juga menjadi penyumbang kepada kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara. Kami bantu anda dengan menyenaraikan beberapa tempat menarik di Terengganu!

Boleh dikatakan setiap daerah di Terengganu menawarkan tempat percutian menarik. Dari Besut hinggalah ke Kemaman. Melalui artikel ini, kami cadangkan lokasi-lokasi TOP sahaja! Yang betul-betul berbaloi untuk percutian hujung minggu anda.

KUALA TERENGGANU

#1 Taman Tamadun Islam

Menempatkan lebih 20 replika masjid dan monumen ikonik seluruh dunia. Di sini, pengunjung boleh melihat replika Masjidil Aqsa, Istana Alhambra, Kota Lama Islam Aleppo, Kubah As Skahrah, Masjidil Haram, dan banyak lagi.

nadraonline.blogspot.com

Seni bina dan ukirannya mirip sekali dengan yang sebenar. Selain itu, orang ramai boleh mempelajari sejarah dan info menarik melalui papan tanda yang disediakan.

Landskap kawasan cukup indah dan bersih. Ramai pengunjung mengambil peluang untuk merakam gambar kenangan berlatar belakangkan replika-replika ini.

Harga tiket: Kanak – kanak bawah 12 tahun RM15.90 | Dewasa: RM21.20

Waktu operasi: 9 am – 7 pm | tutup pada Selasa

Alamat: Pulau Wan Man, Losong Panglima Perang, 21000 Kuala Terengganu

#2 Masjid Kristal

Mercu tanda yang sudah tidak asing lagi dengan negeri Terengganu. Sejak ia dibina beberapa tahun lepas, ia menjadi daya tarikan pelancong dek kerana kemegahan dan keindahan seni binanya yang mengagumkan.

Ia dibuka secara percuma kepada orang ramai untuk menunaikan solat, dan jalan-jalan meilhat pemandangan Sungai Terengganu.

Anda dapat menyaksikan keindahan masjid ini tanpa mengira waktu. Pantulan cahaya matahari pada waktu siang menjadikan bangunan ini lebih ‘stand out’ berbanding yang lain.

Pada waktu malam pula, seluruh kawasan akan dilimpahi dengan cahaya lampu menjadikan ia terang benderang di malam hari.

Alamat: Pulau Wan Man, Losong Panglima Perang, 21000 Kuala Terengganu

#3 TTI River Cruise

Untuk melihat kepelbagaian mercu tanda di Kuala Terengganu, kami cadangkan anda menaiki TTI River Cruise. Ia memberi peluang kepada pelancong untuk menyusuri Sungai Terengganu dan menikmati keindahan kawasan sekitarnya.

TTI River Cruise dikelaskan sebagai ‘outdoor edutainment’ di mana penumpang bukan sahaja dapat menyaksikan lebih 20 mercu tanda dan tempat menarik. Bahkan selama 45 minit, pemandu pelancong juga akan memberitahu serba sedikit akan sejarah dan latar belakangnya.

Laman web: https://www.tti.com.my/tti-river-cruise/

Harga tiket: Dewasa RM22.90 | Kanak kanak/ W. Emas RM16.90 | Bawah 7 tahun percuma

Alamat: Pulau Wan Man, Losong Panglima Perang, 21000 Kuala Terengganu

#4 Muzium Negeri Terengganu

Muzium Negeri Terengganu juga tidak kurang hebatnya. Tersergam indah bak istana zaman dahulu kala. Muzium ini menempatkan pelbagai sejarah negeri Terengganu.

Muzium ini terdiri daripada Muzium Utama, Muzium Maritim, Muzium Perikanan, 4 rumah tradisional, taman botani dan herba serta galeri-galeri yang mempamerkan sejarah, alat kebesaran diraja, seni Islam, senjata lama dan tekstil.

Pengunjung juga berpeluang melihat sendiri Batu Bersurat asli yang terletak di tengah tengah kawasan.

Harga tiket: Dewasa RM5 | Kanak kanak RM2

Waktu operasi: 9 am – 5 pm | tutup pada Jumaat

Alamat: 20566 Bukit Losong, Terengganu

#5 Pasar Payang

Tidak lengkap percutian anda ke Kuala Terengganu jika tidak ke Pasar Payang. Menempatkan pelbagai jenis barangan kraftangan dan makanan tradisional Terengganu.

Tempat membeli belah di Terengganu yang popular ini menawarkan songket, batik, dan lain-lain pada harga berpatutan. Ratusan lot kedai bakal membuatkan anda rambang mata.

Selain itu jangan lepaskan peluang untuk mencuba pelbagai jenis manisan dan snek tradisonal serta keropok lekor segar di sini. Wajib singgah!

Oh ya, Pasar Payang telah bertukar lokasi dan kini berada di tempat baharu di Jalan Sultan Zainal Abidin.

[Baca] Apa Yang Menarik di Pasar Payang

Waktu operasi: 8.30 am – 6 pm | tutup pada Jumaat

Alamat: Jalan Sultan Zainal Abidin, Kampung Tanjung Kapur, 20200 Kuala Terengganu, Terengganu

#6 Chinatown

Juga dikenali dengan World Heritage Lane in Chinatown Terengganu. Lokasi yang penuh sejarah dan indah ini menjadi tarikan penduduk tempatan dan pelancong. Bangunan-banguna.  lama dari zaman kolonial masih berdiri teguh dan digunakan hingga ke hari ini.

Ia kemudian dicat dengan warna ceria dan tanglung digantung untuk membangkitkan mood dan budaya kaum Cina.

Cukup menarik untuk dikunjungi memandangkan hampir keseluruhan bandar ini mengekalkan konsep asal bangunan. Kedai-kedai makan halal seperti kafe hipster juga boleh ditemui di sini.

Jangan lepaskan peluang untuk bergambar dengan pondok telefon klasik yang ada di sini.

Alamat: Jalan Kampung Cina, 20100 Kuala Terengganu, Terengganu

#7 Pantai Batu Buruk

Banyak betul tempat menarik di Kuala Terengganu. Pantai Batu Buruk juga salah satu daripadanya. Penuh dengan kemudahan asas dan tarikan menarik. Pantai ini tidak pernah lekang dengan kehadiran orang awam.

Mana tidaknya, di sini pengunjung berpeluang menunggang kuda, menaiki kereta kuda, ATV, bermain layang-layang, dan banyak lagi.

Kedai makan dan food court juga boleh ditemui. Cukup menyelerakan apabila dapat menjamu selera sambil menikmati angin pantai.

#8 Drawbridge (Jambatan Angkat Terengganu)

Baharu sahaja siap dibina pada tahun lalu, kini Jambatan Angkat telah menjadi salah satu tempat menarik di Terengganu 2020!

Jambatan sepanjang 638 km yang menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Neru boleh diangkat untuk membenarkan bot dan kapal besar lalu di bawahnya.

Ruangan komersialiaitu ‘Skybridge’ di buka kepada orang ramai untuk melihat bandar Kuala Terengganu dari pandangan atas. Lebih banyak lagi tarikan yang bakal dibuka pada masa akan datang.

Harga tiket Skybridge: RM5

Alamat: Kuala terengganu Drawbridge, Kampung Surau Pasir, 20000 Kuala Terengganu

#9 Pantai Seberang Takir (Miami Beach)

Juga dipanggil sebagai Miami Beach dek kerana keindahan dan panorama bandar KT yang boleh dilihat di sepanjang pantai. Ia tidak ubah seperti Pantai Miami, Florida.

Orang ramai gemar mengambil angin dan lepak di tepi pantai, sambil bergambar berlatar belakangkang Jambatan Angkat.

Menarik juga untuk anda kunjungi.

Alamat: Kampung Seberang Takir, 21300 Kuala Terengganu, Terengganu

BESUT

#10 La Hot Spring

Tempat menarik di Besut juga tidak kurang hebatnya dengan keindahan pantai dan alam semula jadi. Salah satu lokasi yang harus anda lawati adalah kolam air panas semula jadi, La Hot Spring.

Khasiat kolam air panas dalam merawat sakit sendi dan kulit sudah tidak dapat disangkal lagi. Anda boleh menikmatinya secara percuma di sini. Tambahan pihak pengurusan menyediakan beberapa buah kolam untuk menampung jumlah pengunjung yang ramai.

Kolam cetek untuk kanak-kanak juga di sediakan. Kemudahan seperti surau, pondok rehat, tempat persalinan juga disediakan.

Harga tiket: Percuma

Alamat: Sungai Peng, 22010 Jerteh, Terengganu

#11 Zul Ikan Bakar

Kami selitkan tempat makan sedap di Besut iaitu Zul Ikan Bakar yang terletak di Kampung Raja. Cukup terkenal dengan keenakan ikan bakar mereka kerana menggunakan rempah istimewa yang menyelerakan.

jmr23.com

Pelanggan boleh memilih pelbagai jenis ikan segar yang disediakan seperti ikan merah, ikan siakap, kerapu, pari dan banyak lagi. Kesemua makanan laut di sini segar belaka. Maklumlah, restoran ini bersebelahan dengan pendaratan ikan LKIM.

Menu lain seperti sotong dan udang celup tepung. Cukup sedap apabila dimakan bersama nasi putih dan sos pencicah istimewa.

Waktu operasi: 8 pm – 2 am | tutup pada Isnin

Alamat: Kampung Seberang Kastam, 22200 Kampung Raja, Terengganu

[Baca] 9 Tempat menarik di Besut

PAKA

#12 Rumbia Resort Villa

Tidak banyak tempat menarik di Paka Terengganu yang berbaloi untuk anda lawati. Ini berikutan Paka kini menjadi kawasan perindustrian minyak dan gas. Namun, terdapat sebuah resort menarik untuk anda sekeluarga.

Ia berkonsepkan villa, di mana anda menyewa 1 unit rumah untuk bermalam. Terdapat  tiga jenis penginapan iaitu:

  • Banglo
  • Rumah dengan 3 buah bilik
  • Superior Suite

Setiap satu daripadanya memiliki keistimewaan masing masing bergantung kepada bajet anda.

Kemudahan

  • Bilik tidur
  • Ruang tamu
  • Dapur
  • Bilik air
  • Tempat letak kereta
  • Kolam renang
  • Restoran

Rumbia Resort Villa menyediakan sebuah kolam renang yang luas. Anak-anak pasti suka sekiranya dapat menghabiskan waktu petang dengan mandi manda.

Selain itu, Rumbia Resort Villa turut menawarkan beberapa aktiviti indoor dan outdoor menarik untuk tetamu seperti:

  • Taman permainan
  • Memancing
  • Berbasikal
  • Paintball
  • Tenis

Harga: dari RM350 semalam

Alamat: 23100 Paka, Terengganu

KEMAMAN

#13 Kemaman Zoo and Recreation Park

Salah satu tempat menarik di Kemaman yang harus anda lawati adalah Kemaman Zoo and Recreation Park. Anda pasti teruja melihat keadaan persekitaran dan landskap zoo ini yang menarik dan dijaga dengan baik.

Pengunjung berpeluang melihat haiwan-haiwan liar seperti harimau, gajah, tapir, buaya, dan singa dengan lebih dekat.

Tambahan pula, pihak zoo mengendalikan beberapa pertunjukkan dan demonstrasi haiwan yang menarik untuk tontonan pengunjung.

Taman tema air mini

Apa yang menarik tentang  Kemaman Zoo and Recreation Park ini adalah mereka turut menyediakan semua taman tema air mini untuk si cilik. Lengkap dengan gelongsor dan kolam besar yang cetek airnya. Tiket taman tema air ini adalah RM5 sahaja (dibayar berasingan).

Harga tiket: Dewasa RM10 | Kanak kanak RM7

#14 Pantai Teluk Mak Nik

Namanya mungkin tidak se gah Pantai Cherating, namun ia tetapi memiliki keistimewaan tersendiri. Pantai Teluk Mak Nik cukup popular dikalangan penduduk tempatan sebagai tempat beristirehat pada waktu petang dan hujung minggu.

n-sabrinaa.com

Deretan pokok rhu yang berada di sepanjang pantai pula sangat indah selain menjadikan kawasan ini redup.

Pengunjung boleh berkelah, jalan jalan, dan si cilik pula pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk bermain di taman permainan yang disediakan.

Alamat: Majlis Perbandaran Kemaman, Kampung Tabuan, 24000 Kemaman, Terengganu

[Baca] 10 Tempat Menarik di Kemaman Untuk Percutian Keluarga

DUNGUN

#15 Pantai Teluk Bidara

Sekiranya anda berada di sekitar Dungun, luangkan masa seketika untuk menikmati angin pantai di Pantai Teluk Bidara. Struktur pantainya yang melengkung, landai dan selamat untu aktiviti mandi manda menjadikan ia mesra pengunjung.

Bukan sahaja penduduk tempatan, bahkan pelancong luar turut tidak mahu melepaskan peluang untuk melakukan aktiviti pantai di sini.

Ia merupakan salah satu tempat menarik di Dungun yang harus anda lawati.

#16 Pusat Penyu Dan Ekosistem Marin (TUMEC)

Penyu sudah sinonim dengan negeri Terengganu bukan? Apa kata anda luangkan masa dengan melawat Pusat Penyu Dan Ekosistem Marin (TUMEC) untuk mempelajari dengan ebih lanjut tentang haiwan yang hampir pupus ini.

Pusat Penyu Dan Ekosistem Marin (TUMEC) merupakan tempat penyelidikan dan pemuliharaan penyu. Ia dibuka secara percuma kepada orang ramai untuk mengenali haiwan unik ini dengan lebih lanjut.

Banyak pameran dan informasi tentang penyu. Sekiranya bertuah, anda boleh memegang dan melepaskan penyu ke laut.

Harga tiket: Percuma

Alamat: No. 1, Rantau Abang, Terengganu, 23000 Kuala Dungun

#17 Pulau Redang

Seronok juga kalau dapat menikmati hujung minggu di pulau yang airnya biru. Aktiviti snorkeling, scuba diving, dan mandi pantai memang wajib dilakukan di sini. Lokasi-lokasi seperti Pantai Pasir Panjang, Pasir Mak Simpan, dan Pasir Mak Kepit menjadi tumpuan pelancong.

Anda boleh menggunakan perkhidmatan bot yang disediakan oleh resort yang anda inap.

Resort menarik di Pulau Redang

  • Taaras beach Resort and Spa
  • Coral Redang Island Resort
  • Laguna Redang Resort
  • Redang beach Resort

#18 Pulau Perhentian

Kejernihan air dan keindahan pantai di Pulau Perhentian sudah tidak dapat dipertikaikan lagi. Tidak hairanlah mengapa ia diangkat menjadi salah satu pulau tercantik di dunia.

Ribuan ikan yang hadir sewaktu aktiviti snorkeling membuatkan pelancong teruja. Apatah lagi ia sungguh jinak sambil berenang-renang di kaki dan disebalik terumbu karang yang berwarna warni.

Tempat menarik di Pulau Perhentian:

  • Teluk Pauh
  • Pasir Jong
  • Teluk Keke
  • Teluk Dalam
  • Pasir Panjang
  • Teluk Kerma
  • Teluk Aur

Sejumlah chalet dan resort disediakan untuk kemudahan penginapan. Anda boleh pilih mengikut bajet yang sesuai seperti:

  • Perhentian Arwana
  • Samudra beach Chalet
  • Fauna Bay Chalet
  • Coral Beach Resort

Tempat menarik di Setiu

  • Lata Chakah
  • Pantai Penarik
  • Pulau Lang Tengah
  • Pantai Merang

Banyak tempat menarik di Terengganu yang boleh anda lawati. Kami yakin percutian anda di negeri bertuah ini akan diisi dengan pelbagai aktiviti menarik untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Selamat bercuti!

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!