Bagi mereka yang mempunyai anak yang masih bersekolah, pendedahan terhadap sejarah negeri yang dilawati pastinya akan memberikan percutian yang lebih bermakna. Jika berkunjung ke Kelantan, lawatan ke tempat-tempat bersejarah di negeri ini secara tidak langsung membawa mereka mendekati khazanah negeri ini.
Muzium Perang Kelantan adalah salah satu pilihan tepat. Lebih-lebih lagi jika kita ingat kembali sejarah penjajahan Jepun ke atas Tanah Melayu bermula di Kelantan. Negeri Che Siti Wan kembang ini kaya dengan warisan dan budaya yang unik. Oleh sebab itu negeri ini memiliki beberapa buah muzium dan setiap satu daripadanya menyimpan nilai sejarah yang tersendiri.
Kalau anda berpeluang bercuti ke negeri ini, datanglah ke salah satu muzium. Kami di Team Travel yakin anda akan mempelajar sesuatu yang unik tentang negeri ini.
Berikut kami senaraikan beberapa tempat bersejarah di Kelantan termasuk muzium yang boleh anda lawati.
Muzium Perang Kelantan (Bank Kerapu)
Pada asalnya, ia merupakan bangunan The Mercantile Bank of India Limited yang mula beroperasi pada 1912. Sebab itulah ia pernah dipanggil Bank Kerapu. Muzium Perang ini menempatkan segala peringatan Peperangan Dunia Kedua (WWII). Anda boleh mempelajari dengan lebih lanjut akan bagaimana WWII bermula di Tanah Melayu kerana ia bermula di Kuala Pak Amat Kota Bharu.
Terletak di Jalan Sultan, tiket masuk hanya berharga RM2 (dewasa) dan RM1 (kanak-kanak.
Muzium Negeri Kelantan
Kelantan State Museum menempatkan segala macam artifak penting penubuhan negeri ini dari awal hingga ke era moden hari ini. Pameran  mengenai Seni Budaya Kelantan termasuklah peralatan permainan wayang kulit yang sudah sinonim dengan negeri ini, rebana ubi makyong menora dan lain-lain.
Jika berkunjung ke kelantan kena pada waktunya, anda dapat melihat pameran khas yang sering berlangsung dalam masa terhad di sini. Contohnya Ular dan Reptilia, mumia, Alam Mistik, dan Pameran Artifak Rasulullah.
Bank Pitis
Dibina sebagai bilik kebal untuk wang atau ‘pitis’ (ikut dialek Kelantan) serta dokumen penting kerajaan ketika pemerintahan Sultan Muhammaad III (1889- 1890). Bangunan berukuran 12 kaki lebar dan 12 kaki tinggi yang berbentuk segi empat sama ini terletak betul-betul di pintu masuk Istana Balai Besar, Jalan Istana.
Lokasi ini selalu menjadi persinggahan pelancong kerana terletak dekat dengan beberapa lokasi menarik seperti Kampung Kraftangan, Istana Jahar, dan 150 meter sahaja dari Pasar Siti Khadijah.
Masjid Kampung Laut
Masjid ini berusia kira-kira 300 tahun. Dikatakan pusat penyebaran agama Islam di negeri ini pada tahun 1730. Dibina oleh para mubaligh yang belayar ke sepanjang Kepulauan Melayu di mana kapal mereka bocor di tengah jalan. Mereka mendarat dengan selamat di pantai terdekat. Untuk memperingati peristiwa itu, mereka membina sebuah masjid.
Masjid ini kini terletak di Pusat Pengajian Tinggi Islam, Nilam Puri. Anda boleh datang dan lihat sendiri senibina masjid ini yang mempunyai sentuhan Jawa dan dibina tidak menggunakan paku.
Muzium Islam
Muzium di mana anda boleh mengetahui susur galur dan bagaimana Islam boleh berkembang di Kelantan. Bangunan yang menyerupai masjid ini mengandungi pelbagai artifak dalam penyebaran Islan di negeri ini.
Pada ketika ini Replika Mumia Firaun dan Kerandanya ada dipamerkan di tingkat atas.
Pantai Kuala Pak Amat
Menjadi tempat bermulanya Perang Dunia ke-2 di Tanah Melayu pada Disember 1941. Tentera Punjab yang memihak pada British tewas ke tangan Jepun menyebabkan berlakunya pertumpahan darah di sini.
Malangnya kita sudah tidak dapat melihat kubu-kubu kebal dan monumen penting sudah tidak kelihatan akibat habisan pantai. Tetapi anda masih lagi boleh ke Pantai Kuala Pak Amat untuk meninjau lokasi penuh sejarah ini.
Makam Tok Janggut
Siapa tidak kenal dengan Tok Janggut, nama yang tertulis dalam buku sejarah sekolah. Beliau merupakan salah seorang pahlawan Melayu yang menentang campur tangan British di Kelantan pada 1909.
Orang ramai dibenarkan melawat makam Tok Janggut yang terletak di Jalan Pasir Pekan Tumpat. Ia dibuka setiap hari dan tiada sebarang bayaran dikenakan.
Istana Bukit Tanah
Satu-satunya Istana yang berada di jajahan Tumpat. Istana ini dikatakan dibina sewaktu pemerintahan Jepun lagi. Pada ketika itu Kelantan di bawah pemerintahan Sultan Ismail Ibni Almarhum Sultan Muhammad ke-4. Istana ini masih lagi tersegam indah dan terpelihara.
Berkedudukan di Persiaran Istana, Tumpat, iaitu 19.8km dari pusat bandar Kota Bharu.
Perigi Jepun Palekbang
Perigi yang terletak berdekatan ladasan keretapi Sungai Nyior ini dahulu pernah disalah anggap sebagai terowong bawah tanah. Namun ia cuma perigi milik Jepun yang menggunakan tenaga anak-anak Melayu dari kampung ini.
Kami kira tempat ini tidak di kawal. Jadi anda bebas untuk melawat pada bila-bila masa. Boleh rujuk peta di bawah.
Wakaf Tuan Farrer
Kami selitkan juga Wakaf Tuan Farrer sebagai antara tempat bersejarah di negeri Kelantan. Monumen yang terletak di Pasir Puteh ini cumalah wakaf lama yang dibina oleh penduduk tempatan. Dibina sekitar tahun 1917.
Pada zaman itu wakaf ini menjadi persinggahan para pengembara untuk berhenti rehat. Dinamakan Wakaf Tuan Farrer sempena Roland John Farrer iaitu Penasihat British di Kelantan.
Tak susah nak cari lokasinya kerana ia terletak di bulatan Jalan Nara, berdekatan dengan Masjid Ibrahimi. Namun, wakaf yang anda lihat pada hari ini adalah yang dibina semula. Ini berikutan Wakaf Tuan Farrer yang asal telah dilanggar oleh kereta.
Muzium DiRaja (Istana Batu)
Sesuai dengan namanya, muzium ini hanya mempamerkan sejarah Kesultanan Kelantan dan susur galurnya dari dahulu hinggalah sekarang. Informasi ini diterjemahkan kepada pengunjung melalui artifak, pakaian rasmi, item penting, rajah, serta penulisan.
Anda boleh lihat dengan lebih dekat suasana dalam istana pada zaman dahulu. Nak cari muzium ni senang je, terletak di Jalan Hilir berdekatan dengan Istana Jahar dan Bank Pitis.
Antara tempat bersejarah lain yang boleh anda lawati adalah Istana Jahar, dan Kampung Kraftangan. Kedua-dua tempat ini terletak di satu kawasan sahaja. Jalan kaki pun cuma memakan masa beberapa minit sahaja.
Banyakkan tempat bersejarah di Kelantan ni? Kalau nak pergi semua memang tak sempat. Jadi baik anda rancang percutian dengan sebaik-baiknya supaya bajet, hotel, dan waktu anda di negeri ini tidak terganggu.